Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembinaan sekolah itu yang menelan kos berjumlah RM65.5 juta dijadual bermula hujung tahun ini selepas proses konsultan siap sepenuhnya.

"Kementerian amat peka dan berusaha memenuhi keperluan untuk pembinaan sekolah berasrama penuh ini. Dengan adanya SBPI Tanah Merah, kita harap dapat mewujudkan peluang kepada pelajar berpotensi mendapat pendidikan yang teratur dan sempurna.

"Sekolah ini juga bakal menjadi mercu tanda pendidikan terbaharu di negeri ini," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Tanah Merah di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Muhammad Zahari Othman.

Beliau memberitahu, SBPI Tanah Merah yang dibina atas tanah seluas kira-kira sembilan hektar itu akan mempunyai 20 bilik darjah selain beberapa kemudahan lain seperti asrama, surau, dewan makan dan serbaguna, makmal sains dan kuarters kakitangan.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, beliau mewakili rakyat Tanah Merah berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang meluluskan pembinaan SBPI baharu itu. - K! ONLINE