Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 10 bulan menjalani rawatan membuang ketumbuhan di mulutnya seberat 200gram di London hasil usaha Dr. Nur Amalina.

Dr. Nur Amalina adalah orang yang bertanggungjawab mengaturkan pembedahan bayi itu di London oleh sekumpulan pakar bedah dan bius, diterajui Ketua Unit Craniofacial sebuah hospital di London, Prof. David Dunaway.

Sekarang ini Ainul bersama ibu bapanya, Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani Zaidi dalam perjalanan pulang ke Malaysia melalui penerbangan yang dijangka sampai pagi esok.

Sebelum ini kepulangan bayi itu terpaksa ditangguhkan kerana bayi itu terkena jangkitan.

Dr. Nur Amalina melalui laman sosial Instagramnya sebentar tadi berkata, perjalanan Ainul penuh emosi dan ada turun naiknya dan ibu bapa bayi itu menempuhinya dengan penuh kekuatan serta tidak pernah kenal erti putus asa.

"Saya tidak sabar untuk melihat Ainul berlari di taman permainan seperti kanak-kanak lain," tulisnya lagi.

Dr. Nur Amalina turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang banyak membantu bagi menjayakan misi pembedahan Ainul di London.

"Selamat pulang ke Malaysia, kami semua sayangkan Ainul, jangan lupa datang London lagi," tulisnya. - K! ONLINE