"Saya sudah pun memanjangkan masa saya selama yang boleh. Saya bekerja  24 jam sehari, jika anda boleh carikan saya lebih banyak masa dalam sehari, katakanlah  36 jam, saya akan bekerja selama  36 jam juga," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Perdana menteri mengulas tentang dakwaan jumlah kehadiran menteri dan timbalan menteri yang rendah dalam persidangan Dewan Rakyat,  dan sama ada beliau bercadang untuk mewujudkan petunjuk prestasi utama  (KPI) bagi mereka.

Mahathir berkata, menteri dan timbalan menteri perlu menghadiri persidangan Parlimen seberapa kerap yang boleh.
Bagaimanapun, tegas beliau, mereka juga mempunyai tanggungjawab lain untuk dilaksanakan.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan jumlah kehadiran di pihak Kerajaan dalam persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, Perdana Menteri berkata: "Saya tidak pernah berpuas hati dengan apa pun tetapi saya fikir mereka perlu menambah baik dan perlu ada alasan yang sewajarnya untuk  tidak hadir."

Rabu lepas, Ahli Parlimen daripada pembangkang mengkritik beberapa menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir dalam sesi tengah hari persidangan Dewan Rakyat, oleh kerana Kabinet mengadakan mesyuarat mingguan mereka di Putrajaya. 

Kerajaan kemudian mengubah mesyuarat mingguannya kepada Jumaat apabila Dewan Rakyat bersidang. - Bernama