Demikian kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung cadangannya yang meminta beliau melepaskan jawatan sekiranya video intim itu sah dirinya.

Kata Anwar, timbalannya itu, tidak membaca keseluruhan konteks yang dimaksudkannya berhubung kenyataannya di Parlimen pada semalam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, beliau memilih untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, sebaliknya menyelesaikan ketegangan itu secara berhemah.

“Saya ada tengok cermin pagi tadi. Tapi saya fikir tidak adil kerana Mohamed Azmin tidak membaca keseluruhan kenyataan saya, itu bukan isu sebenarnya.

“Saya rasa kenyataan (tentang letak jawatan) saya telah dimanipulasi. Bagaimanapun, saya tak rasa kecewa dengan kenyataan Mohamed Azmin... tapi saya fikir dia perlu baca berita penuh berkenaan kenyataan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini. - Bernama