Dalam satu kenyataan hari ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, Jabatan Kesihatan Sarawak mengesahkan kes terbaharu itu hasil ujian makmal yang diperoleh semalam.

"Lelaki tersebut mempunyai sejarah digigit anjing pada 27 Nov tahun lalu. Kes telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Kuching pada hari yang sama tetapi tidak dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan untuk vaksinasi.

"Pada 20 Januari lalu, kes mengalami sakit serta lemah anggota kaki dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta empat hari kemudian (24 Januari) . Keesokannya, kes dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut selepas mangsa menunjukkan gejala hidrofobia, halusinasi dan agresif," demikian menurut kenyataan itu.

Jurucakap JPBNS berkata, kes terbaharu ini menjadikan sejumlah tujuh kes rabies manusia dilaporkan di negeri ini sejak 30 Jun tahun lalu.
"Lima daripada mangsa telah meninggal dunia manakala dua lagi kes masih di rawat di HUS," katanya. - Bernama