Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, lapan individu telah meninggal dunia, satu kes discaj daripada hospital dan dirawat di rumah, manakala kes terbaru ini membabitkan seorang kanak-kanak lelaki warga negara asing berumur tiga tahun sembilan bulan yang kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurutnya, kanak-kanak itu memasuki Kuching, Sarawak, bersama ibunya pada bulan September 2017 menggunakan pas lawatan sosial dan hasil siasatan mendapati dia digigit anjing liar semasa berada di kediaman mereka di Kampung Sandong, Kuching awal April lepas.

"Kanak-kanak ini telah dibawa ke Klinik Kesihatan kerajaan yang berhampiran di mana luka gigitan dicuci dan suntikan anti-tetanus (ATT) diberikan sebelum dinasihatkan mendapatkan rawatan selanjutnya di fasiliti kesihatan," katanya dalam satu kenyataan.

Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa oleh keluarganya ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, HUS pada 3 Mei lepas kerana mengalami demam panas selama lima hari serta menunjukkan tanda-tanda kegelisahan dan kekeliruan. 
 
"Semasa di wad, kes (kanak-kanak itu) mula menunjukkan tanda-tanda klinikal rabies seperti hydrophobia dan kesukaran menelan.  Sampel klinikal kes telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan pada 8 Mei 2018 dan disahkan positif rabies," menurutnya.

Beliau berkata, sehingga 8 Mei, terdapat 30 kawasan di lima bahagian di Sarawak diisytihar sebagai kawasan jangkitan rabies oleh Kerajaan Negeri Sarawak iaitu Serian (21 kawasan), Kuching (4 kawasan), Samarahan (3 kawasan) dan masing-masing satu kawasan di Sri Aman dan Sarikei.

"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ingin menegaskan semula bahawa kejayaan mencegah jangkitan rabies pada manusia amat bergantung kepada kejayaan mengawal rabies dalam kalangan anjing di mana orang ramai juga perlu memainkan peranan iaitu dengan membawa haiwan peliharaan ini untuk divaksinasi dan tidak memberi makan kepada anjing liar," katanya. - Bernama