Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata pesakit yang kritikal itu kini dirawat di Wad Penyakit Berjangkit di Hospital Umum Sarawak.

"Mangsa pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada Januari 2018 dan tidak mendapatkan rawatan. Pada 11 Ogos 2018, pesakit telah mendapatkan rawatan di Hospital Serian kerana mengalami demam dan sesak nafas.

"Di dalam wad, pesakit menunjukkan tanda-tanda hidrofobia dan lemah badan dan kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 14 Ogos 2018," katanya.

Dr. Noor Hisham berkata dengan kes terbaharu ini menjadikan 12 kes jangkitan rabies kepada manusia dilaporkan di negeri ini sejak 30 Jun tahun lalu dan 33 kawasan telah diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies iaitu Serian (21 kawasan), Kuching (6 kawasan), Samarahan (3 kawasan), Sarikei (2 kawasan) dan Sri Aman (1 kawasan). - Bernama