Tertuduh, Jad Firdaus Mohd. Ali, 30, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rozilah Salleh sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Jad yang merupakan anggota polis bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Balai Polis Bukit Puchong telah meminta RM1,000 daripada seorang lelaki untuk tidak meneruskan siasatan dengan mengubah keputusan ujian air kencing terhadap anaknya selepas ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.

Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Bukit Puchong antara pukul 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang pada 23 November 2015.

Jad turut didakwa telah menerima RM300 daripada individu sama untuk tidak meneruskan siasatan di bawah akta sama di tempat letak kereta awam berhampiran Balai Polis USJ8, Subang Jaya di antara pukul 2.30 hingga 3.30 petang pada 27 November 2015.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama. 

Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. 

Pegawai Pendakwa SPRM, Karmila Mokhtar menawarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan seorang penjamin. 

Bagaimanapun, Peguam Datuk Geethan Ram Vincent membantah kerana jumlah jaminan itu keterlaluan selain anak guamnya sebelum ini tidak pernah gagal hadir memberikan keterangan sebanyak 41 kali di pejabat SPRM. 

"Gaji kasar tertuduh adalah RM2,700 (sebulan) dan saya mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi dua pertuduhan," katanya. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan seorang penjamin. 

Sebutan semula kes ditetapkan 24 Mei depan. - K! ONLINE