Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak akan mempunyai tiga bas yang menggunakan kuasa hidrogen sebagai penggerak selewat-lewatnya pada bulan Mei ini.

"Kami sedia maklum, dua bulan lepas, kami telah mempunyai sebuah bas yang menggunakan kuasa elektrik sebagai tenaga, kalau tidak ada halangan tiga bas kuasa hidrogen pula bakal dinikmati oleh warga Sarawak," katanya kepada media pada majlis Muda Hashim Garage Sale 4.0 anjuran pemuda N8 Satok di sini malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan memperkenalkan dua jenis bas (elektrik dan hidrogen), ia adalah pendekatan baharu kerajaan negeri untuk mempunyai keadaan alam sekitar yang bersih.

"Selain itu, ia juga akan menjadi tarikan baharu bagi pelancong dan selepas itu mungkin perkhidmatan pengangkutan di negeri ini akan menggunakan bas sama ada, kuasa elektrik atau pun hidrogen," katanya.

Sementara itu, Abang Johari juga tidak menolak kemungkinan Sarawak bakal memiliki sebuah stesen minyak tiga dalam satu (3 in 1) yang membekalkan petrol, pengecas kuasa elektrik dan isian semula hidrogen.

"Mungkin satu hari nanti kami akan mempunyai satu stesen yang dapat membekalkan ketiga-tiga tenaga berkenaan.

"Ini kami sedang bincangkan dan tidak lama lagi kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Petros (Petrol Sarawak) untuk kami adakan 3 dalam 1. Kemungkinan yang pertama di Malaysia," katanya. - Bernama