Galaxy S9 dijual pada harga RM3,299 manakala S9+ boleh dibeli bermula harga RM3,799.

Bagi meraikan pelancaran telefon pintar tersebut di pasaran tempatan, SME akan mengadakan Promosi Jelajah khas di Pavilion Kuala Lumpur, Queensbay Mall, Pulau Pinang dan Aeon Bandar Dato Onn Johor Bahru, Johor bermula esok sehingga Ahad ini.

Sepanjang tempoh tersebut, orang ramai berpeluang membeli Galaxy S9 dan S9+ yang didatangkan khas dengan beberapa hadiah eksklusif sementara stok masih ada.

Antara hadiah tersebut adalah pengecas tanpa wayar Samsung bernilai RM279, tawaran harga diskaun sehingga 30 peratus bagi Samsung Gear Sport serta diskaun RM50 bagi penutup paparan LED, penutup paparan berdiri atau penutup Alcantara.

Bukan itu sahaja, pembeli Galaxy S9 dan S9+ juga boleh menukarkan peranti terpilih dengan nilai tambahan sehingga RM400 serta boleh melakukan pembelian telefon bimbit tersebut menerusi pelan ansuran mudah sehingga 12 bulan.

Presiden SME, YoonSoo Kim berkata, Samsung mendengar pendapat pengguna yang mahukan telefon pintar lebih mesra pengguna, justeru ia diterjemahkan menerusi Galaxy S9 dan S9+.

"Galaxy S9 dan S9+ kini didatangkan dengan AR Emoji baharu, Super Slow-mo dan teknologi Super Low-light, sekali gus meningkatkan pengalaman pengguna telefon pintar berkenaan," katanya pada majlis pelancaran telefon pintar tersebut.

Memeriahkan majlis pelancaran Galaxy S9 dan S9+ berkenaan adalah selebriti terkenal Korea Selatan, Park BoGum.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web www.samsung.com/my/offer/s9-roadshow dan www.samsung.com/my/offer/s9-promo/. - K! ONLINE