Pengarah Kesihatan Perak, Dr. Ding Lay Ming berkata, sampel berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia serta Makmal Kesihatan Awam di Kementerian Kesihatan dan keputusan dijangka sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu.

"Sampel makanan itu telah diambil sejak kanak-kanak berkenaan dan tiga lagi keluarganya mendapatkan  rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM), Sabtu lalu.

"Kita menjalankan siasatan kes keracunan makanan itu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Tanpa Tembakau 2018 di Wisma Persekutuan Taiping di sini, hari ini.

Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia, manakala tiga lagi anggota keluarganya dirawat di HSM dipercayai akibat keracunan makanan di Kampung Changkat Chermin, Ayer Tawar. - Bernama