Beliau berkata ketika ini proses membuang 'sampah sarap' yang berada di dalam agensi kerajaan itu sedang dijalankan, bagi membolehkan ia kembali kepada fungsi asalnya sebagai sebuah pertubuhan yang benar-benar membela peladang di negara ini. 

"Kita akan bermula dengan era baru (Nafas), jadi yang mungkin berdepan tindakan perundangan kita izinkan mereka diambil tindakan, manakala yang tidak bersalah jangan bimbang mereka tidak akan diapa-apakan," katanya.

Salahuddin bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama nelayan di pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Kuala Kedah di sini hari ini yang dihadiri lebih 1,000 nelayan. 

Nafas merupakan agensi pertama kementerian itu yang diambil tindakan serius selepas laporan  Pendaftar Pertubuhan Peladang mendapati berlaku salah guna kuasa dan ketirisan yang boleh menyebabkan kerugian entiti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)  dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Penggantungan pengurusan Nafas berkuatkuasa 1 Jun lalu adalah bagi membolehkan siasatan berkaitan tadbir urus, salah guna kuasa dan ketirisan yang melibatkan anggota Jemaah Pengarah dan pengurusan  dilakukan. - Bernama