Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga adik beradik tersebut telah dibawa ke Hospital Serdang oleh keluarganya sendiri selepas berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap fizikal mangsa mendapati terdapat kesan luka pada bahagian kepala, badan, kaki dan tangan selain terdapat kesan lebam di seluruh anggota badan mangsa. 

“Sementara hasil bedah siasat pula mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan tumpul yang berganda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut memberitahu, mangsa telah dijaga oleh bapanya yang juga seorang sami di sebuah kuil sekitar Semenyih selepas ibunya keluar dari rumah mereka sejak dua bulan lalu.

“Kita telah menahan suspek yang berusia 43 tahun itu kira-kira pukul 9.30 pagi di Balai Polis Semenyih bagi membantu siasatan dan permohonan reman akan dilakukan esok di Mahkamah Majistret Kajang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi atau hadir di mana-mana balai berhampuran bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Kes di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - K! ONLINE