Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Dr. Siti Aishah Tajudin berkata, bayi lelaki seberat 1.8 kilogram (kg) dan 2.1 kg tu dilahirkan pada 13 Februari lalu oleh ibunya yang merupakan rakyat warga Bangladesh manakala bapanya Rohingnya.

"Ibu bayi berkenaan yang berusia 25 tahun pertama kali datang ke hospital untuk membuat pemeriksaan, kami dapati terdapat bukaan yang berisiko pada tali pusat dan mengesyorkan supaya dia melahirkan bayi kembar itu secara pembedahan Caesarean utuk mengelak komplikasi.

"Kami telah memaklumkan bahawa ada risiko kematian jika bayi tidak dirawat dengan betul atau kemungkinan mengalami kecacatan, namun pasangan berkenaan berkeras untuk melahirkan bayi mereka secara normal kerana norma masyarakat di sana," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang kuala Lumpur (KLIA) pada Majlis Sambutan Kepulangan Petugas Hospital Medan Malaysia Untuk Misi Bantuan Kemanusian Rohingnya di Bangladesh di sini hari ini.

Seramai 41 daripada keseluruhan 144 sukarelawan yang terdiri daripada pakar perubatan pelbagai bidang dan pegawai Kementerian Kesihatan serta wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan merupakan kumpulan ketiga yang menyertai misi tersebut. Kepulangan mereka disambut oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Siti Aishah yang mengikuti misi sukarelawan tersebut berkata, berkat doa dan hasil usaha pertugas hospital kedua-dua bayi berkenaan selamat dilahirkan secara normal selepas melalui empat jam prosedur.

"Alhamdulillah ibu dan dua bayi kembar ini sihat dan mereka sangat gembira dam melahirkan tanda terima kasih dengan menghadiahkan satu kotak manisan, ini merupakan satu penghargaan yang cukup bermakna bagi kami dengan kesusahan yang mereka hadapi," katanya yang bertugas di Hospital Keningau, Sabah.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kecemasan, Dr. Khairi Kassim yang juga Ketua Kumpulan Ketiga bagi misi berkenaan berkata, Hospital Medan Malaysia menjadi pusat perubatan terbaik di sana dan menjadi rujukan pihak Bangladesh.

"Kami berbangga dapat memberi perkhidmatan kemanusian kepada rakyat Rohingnya dan Bangladesh walapaun berdepan cabaran terutama dari segi bahasa namun kita mendapat kerjasama yang sangat baik dari penduduk tempatan dan pihak berkuasa Bangladesh," katanya lagi.

Hospital Medan Malaysia bernilai RM3.5 juta dibina Disember lalu kem pelarian yang menempatkan etnik Rohingya di Bangladesh sebagai salah satu misi bantuan kemanusian dari Malaysia.

Malaysia negara pertama menghantar bantuan kemanusiaan ke Bangladesh pada 9 September lalu selepas lebih 650,000 pelarian Rohingya melarikan diri dari barat Myanmar akibat operasi tentera pada 25 Ogos lalu. - K! ONLINE