Ratusan peminat membanjiri pekarangan Penjara Pusat Jodhpur bagi menanti kenderaan yang membawa aktor berusia 52 tahun itu melepasi pagar utama. Pelakon terkenal itu telah menjalani hukuman selama dua hari di penjara berkenaan selepas dijatuhi hukuman pada hari Khamis lalu.

Kenderaan peribadi tersebut membawa Salman Khan menuju ke lapangan terbang Jodhpur untuk diterbangkan menggunakan pesawat sewaan khas ke Mumbai.

Hakim membenarkan permohonan Salman Khan yang merupakan salah seorang aktor menerima bayaran paling tinggi di dunia itu untuk diikat jamin dengan jumlah 50,000 rupee (RM2,981). Bagaimanapun, beliau tidak boleh meninggalkan India tanpa kebenaran mahkamah.

Salman Khan tidak menghadiri sesi pendengaran ikat jamin tetapi pendakwa raya, Mahipal Bishnoi memberitahu bahawa pelakon itu mesti hadir ke mahkamah sekali lagi pada 7 Mei nanti.

Bagi pertuduhan tersebut, Salman Khan menafikan telah memburu dan menembak mati dua ekor spesies kijang terancam dikenali sebagai 'black buck' sewaktu sedang menjalani penggambaran filem pada tahun 1998.

Kumpulan hak asasi haiwan Pertubuhan Hak Asasi Haiwan (PETA) melahirkan kekecewaan dengan pembebasan Salman Khan.

“Sementara Salman Khan dapat pulang ke kehidupan bintang filemnya, spesies kijang black buck perlu membayar harga yang tinggi iaitu nyawa mereka,” kata Ketua Eksekutif PETA India, Manilal Valliyate dalam satu kenyataan. - AFP