Penolong Pengurus Balai Cerap Teluk Kemang Muzamil Mazlan berkata, fenomena itu dijangka bermula sekitar 11 malam, Sabtu, hingga 5 pagi, Ahad.

"Fenomena gerhana separa penuh dijangka berlaku pada 2 pagi, disusuli dengan gerhana penuh pada 3 pagi. Untuk kemudahan pengunjung, pihak kami menyediakan dua teleskop mudah alih bagi orang ramai menyaksikan fenomena tersebut," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Fasa gerhana bulan terdiri daripada Fasa Penumbra bermula, Fasa Separa bermula, Fasa  Penuh  bermula, Fasa Penuh maksimum, Fasa Penuh berakhir, Fasa Separa berakhir dan Fasa Penumbra berakhir.

Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada di kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayang umbra bumi.

Bulan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara yang biasa dilihat kepada warna kemerahan sebelum kembali ke warna asal dalam tempoh lima jam. Warna kemerahan akan dapat dilihat ketika fasa penuh, esoknya.

Pada hari tersebut, turut diadakan penerangan dan taklimat mengenai Gerhana Bulan Penuh yang akan disampaikan penuntut Universiti Malaya pada 11 malam di Kompleks Baitul Hilal Teluk Kemang, serta solat sunat gerhana. - Bernama