Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pengembalian hak royalti rakyat Sabah amat diperlukan untuk memajukan negeri ini terutamanya menyediakan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Menurut Shafie, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengenai tuntutan kerajaan negeri, namun enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.

"Kita mahu realisasi pembayaran royalti minyak pada kadar 20 peratus daripada pendapatan secepat mungkin. Isu ini telah berlarutan lebih 50 tahun dan rakyat peringkat akar umbi mahu hak mereka dikembalikan.

"Di pihak kerajaan negeri, kita telah mengadakan pertemuan dengan Petronas dan menyatakan secara jelas pendirian kerajaan menuntut pulangan 20 peratus daripada pendapatan hasil minyak negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas sempena 100 hari pemerintahan kerajaan negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, setakat ini, Petronas mengakui tidak mampu memenuhi permintaan kerajaan negeri berikutan masalah pendapatan.

"Malaysia hanya ada tiga negeri pengeluar minyak iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu. Kita yakin tuntutan kerajaan negeri tidak akan membuatkan Petronas bankrap," jelasnya. - K! ONLINE