Kedua-dua RUU ini akan dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah yang turut akan membentangkan RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018, RUU Kastam (Pindaan) 2018 serta RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018.

Mengikut syarat, RUU GST perlu dimansuhkan terlebih dahulu seperti yang termaktub dalam manifesto janji 100 hari oleh kerajaan diterajui oleh PH sebelum membentangkan RUU yang baharu.

Sebanyak 10 Fasal dibentangkan di bawah RUU berkenaan yang turut memperuntukkan apa-apa liabiliti yang ditanggung boleh dikuatkuasakan atau apa-apa barang dan perkhidmatan yang genap masa, terlebih bayar serta terkhilaf boleh dipungut, dibayar balik atau diremitkan di bawah akta yang dimansuhkan seolah akta yang dimansuhkan itu tidak dimansuhkan.

RUU Kastam (Pindaan) 2018 pula berkait prosedur percukaian yang mana Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap proses percukaian tersebut.

Bacaan kali kedua dan perbahasan kesemua RUU tersebut dijangka pada 7 Ogos depan. - K! ONLINE