RUU itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila menerima sokongan kesemua 211 Ahli Dewan Rakyat yang hadir selepas dibahas oleh perwakilan daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Selepas kiraan undi belah bahagi dilakukan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof mengumumkan, seramai 211 ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala tiada yang tidak bersetuju dan tidak mengundi.

RUU itu yang dibentangkan Menteri Belia dan Su­kan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bacaan pertama minggu lalu bakal meminda  pereng­gan (b) Perkara 47 Perlemba­gaan Persekutuan untuk me­nurunkan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 tahun ke­ pada 18 tahun.

Pindaan itu juga bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi da­ripada 21 kepada 18 tahun.

Menerusi pindaan tersebut juga, seseorang yang mencapai umur 18 tahun akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ia juga akan meminda seksyen 5 Jadual kelapan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri daripada umur 21 kepada 18 tahun.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika sesi penggulungan berkata, pindaan itu memberi gambaran bahawa kerajaan serius merealisasikan Janji 17 dalam Buku Harapan iaitu menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun selain pendaftaran automatik.

“Berdasarkan perbahasan tadi, ramai Ahli Yang Berhormat berasa teruja dengan pindaan itu namun turut menyatakan kebimbangan berkaitan tempoh pelaksanaan.

“Tempoh pelaksanaan ini perlu dipertimbangkan kerana ianya akan menentukan hala tuju demokrasi negara selain mengambil kira aspek kebajikan bakal-bakal pengundi untuk diberi keutamaan dan bukanny memberi ruang kepada apa-apa agenda politik,” katanya pada sesi Dewan Rakyat di sini tadi. - K! ONLINE