Menurut Wisma Putra, jaminan itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Shri Mridul Kumar dalam perbincangan dengan Kementerian Luar.

Perbincangan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia itu diadakan susulan memorandum yang diserahkan oleh Presiden Hindu People's Party, Arjun Sampth kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai pada Rabu lepas.

Wisma Putra berkata, memorandum daripada parti yang juga dikenali sebagai Hindu Makkal Katchi itu mengutuk insiden terbabit dan mendakwa kerajaan bersikap berat sebelah terhadap penganut Hindu di Malaysia selain menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil sebarang tindakan berhubung insiden tersebut.

"Kerajaan Malaysia memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Hindu Makkal Katchi tanpa usul periksa yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat jahat untuk mengeruhkan hubungan dua hala yang baik di antara Malaysia dan India," kata Wisma Putra.

Wisma Putra berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa bercakap di Parlimen juga telah menyatakan dengan jelas bahawa insiden perbalahan tersebut merupakan kes jenayah dan tidak mempunyai kaitan dengan sentimen perkauman. – Bernama