Pada aksi pembukaan Kumpulan A itu, Rusia yang berada pada ranking No. 70 dunia, jelas bukan tandingan buat Arab Saudi (No. 67) apabila mula mendahului 2-0 dengan mudah pada babak pertama.

Dengan suntikan semangat selaku tuan rumah buat kali pertama, Rusia mula mengasak kubu pertahanan Arab Saudi sejak awal permainan bagi mencari gol awal di hadapan lebih 80,000 penonton yang hadir menyaksikan aksi pembukaan kempen tersebut.

Hasrat mereka itu akhirnya berjaya pada minit ke-12 apabila Yury Gazinsky menanduk masuk gol sulung kejohanan edisi 2018 sebelum pemain sayap kelab Villareal, Denis Cheryshev menjarakkan kedudukan pada hasil jaringan pada minit ke-43.

Arab Saudi yang menyambut Aidilfitri pada hari ini, bagaimanapun tidak mudah mengalah dan berjaya menyerap asakan lawannya serta mula melancarkan beberapa serangan berbahaya terutamanya pada babak kedua, namun penyudah yang tumpul menjadi penghalang mereka merapatkan kedudukan.

Namum, impian mereka dilihat musnah apabila Rusia menambah tiga gol lagi di babak kedua menerusi penyerang Zenit St. Petersburg, Artem Dzyuba pada minit ke-71, Cheryshev dan Golovin (minit 90) sekali gus menjamin tiga mata penting untuk mereka mendahului saingan Kumpulan A.

Satu lagi pertemuan Kumpulan A menyaksikan juara dua kali, Uruguay menentang wakil Afrika, Mesir pukul 8 malam ini.

Rusia akan berdepan Mesir pada aksi kedua Rabu ini manakala Arab Saudi dijadual bertemu Uruguay pada hari yang sama. - K! ONLINE