Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahaya Madis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 10.21 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh bergegas ke lokasi kejadian.

“Tiba di tempat kejadian, rusa dipercayai betina itu berada dalam keadaan lemah dan tidak mampu bergerak selepas dipercayai patah kaki hadapan kanan selain cedera di bahagian kepala dan badan.

“Anggota bertindak memberinya minuman sebelum membawa haiwan liar itu ke BBP Ipoh dalam usaha menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Yahaya, pihaknya bimbang sekiranya rusa yang dilindungi itu ditemui pihak tidak bertanggungjawab sekiranya tidak dibawa ke balai.

“Anggota kemudian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak untuk tindakan lanjut.

“Rusa liar itu seterusnya dibawa ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai bagi merawat kecederaan yang dialaminya,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Perhilitan Negeri, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, rusa liar jenis Sambar itu dipercayai tersesat sehingga masuk ke kawasan bandar.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian ini sedang dijalankan kerana ia merupakan hidupan liar yang dilindungi mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

““Kita tidak menolak kemungkinan haiwan itu mungkin dibela seseorang sebelum ia terlepas kerana tiada hutan di kawasan berkenaan,” katanya. - K! ONLINE