Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan tentang kebakaran tersebut sekitar pukul 7.07 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba ke lokasi kejadian, anggota bomba mendapati rumah banglo tiga tingkat tersebut sedang dijilat api yang marak.

"Api dapat dikawal dalam masa 15 minit dan dipadam sepenuhnya sekitar pukul 7.41 petang namun kerja-kerja pemeriksaan masih diteruskan untuk mengelakkan kebakaran berulang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Alimaddia, seramai tiga pegawai dan 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, BBP Batu Arang dan BBP Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

Sementara itu, Komander Operasi, Noor Fazida Tina Mohamad Noor berkata, ketika kejadian, pemilik kediaman tersebut tiada di rumah kerana sedang bercuti di luar negara.

"Ketika kejadian hanya empat anaknya termasuk dua kanak-kanak serta seorang pembantu rumah yang berada di dalam banglo berkenaan dan sedang menyediakan juadah untuk berbuka puasa.

"Salah seorang daripada mereka mendakwa terdengar bunyi letupan dipercayai daripada salah satu plug dinding di sebuah bilik di tingkat tiga sebelum menyedari api yang mulai marak namun punca sebenar kebakaran masih di dalam siasatan," katanya.

Difahamkan, kebakaran tersebut telah menjejaskan kira-kira 80 peratus bahagian banglo berkeluasan 120 kali 80 kaki persegi itu dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kesemua penghuni banglo terbabit sempat melarikan diri sebaik menyedari api yang mulai marak. - K! ONLINE