Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Langat, Kapten Maharris Manan berkata, pihaknya menerima sebanyak 71 panggilan kecemasan tentang kejadian berkenaan sejak pukul enam petang.

“Panggilan kecemasan tersebut melibatkan pokok tumbang di sekitar Hulu Langat, Kajang, Bangi dan sehingga masa kini(semalam), kami masih menerima panggilan tentang kejadian berkenaan.

“Satu pasukan APM telah dikerahkan ke kawasan yang terjejas terutamanya di Seksyen 3, Bangi dan Teras Jernang di sini. Anggota bomba dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut berkejar ke lokasi untuk membantu mengalihkan pokok yang tumbang,” katanya di sini hari ini.

Menurut Pegawai APM Kuala Lumpur, Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd. Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian pokok tumbang di Jalan Bukit Ampang, Bandar Sri Permaisuri dan Taman Bukit Angsana, Kuala Lumpur kira-kira pukul 5 petang.

“Pihak kami telah menghantar pasukan ke lokasi terbabit untuk mengalihkan pokok berkenaan yang menghalang laluan dan di Bandar Sri Permaisuri, terdapat tiga kereta dan dua tiang lampu yang rosak akibat pokok tumbang. 
 
“Kerja-kerja pengalihan pokok sedang giat dijalankan di lokasi berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihaknya menerima empat laporan tentang kejadian ribut dan banjir kilat dan pokok tumbang di sekitar daerah itu.

“Sebanyak tiga buah rumah terjejas dan dua daripadanya dinaiki air akibat banjir kilat di Kampung Batu 5, Semenyih namun paras air telah surut dan kini dalam proses pembersihan.

“Terdapat beberapa rumah telah terjejas di Kampung Teras Jernang akibat banjir kilat dan pokok tumbang manakala kerosakan pada bumbung dihadapi oleh penduduk di tujuh buah rumah dan empat buah premis Kampung Bagi,” katanya. - K! ONLINE