Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, berlaku kejadian sebelum ini apabila pasukan kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya tidak dibenarkan melakukan rondaan di dua kawasan elit di daerah ini.

"Pihak polis hanya menjalankan tugas mengikut peruntukan undang-undang dan saya sendiri tidak pasti mengapa kami tidak dialu-alukan di kawasan tersebut. 

"Mereka perlu tahu bahawa tindakan undang-undang boleh dikenakan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, jadi selepas ini kami harap kerjasama dapat diberikan," katanya pada pemberita selepas selesai sesi pertemuan bersama rukun tetangga di USJ 9, Subang Jaya di sini sebentar tadi.

Menurut, Risikin, perkara itu bagaimanapun telah diselesaikan selepas wakil rakyat mengadakan pertemuan dengan persatuan penduduk kawasan berkenaan. 

Dalam sesi pertemuan itu, Risikin memaklumkan pihaknya akan memastikan bahawa rondaan cegah jenayah dilakukan secara berterusan bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah daripada berlaku.

"Masyarakat perlu didedahkan tentang kepentingan rondaan pihak polis bagi mencegah kejadian jenayah terutama di kawasan perumahan mereka.

"Kita lebih suka lakukan usaha pencegahan daripada mengambil tindakan setelah jenayah berlaku. Tindakan memang boleh diambil, tetapi mangsa perlu menanggung kerosakan atau kerugian disebabkan jenayah tersebut," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Risikin berkata pihaknya akan mengadakan program turun padang bertemu rukun tetangga di lima zon sekitar daerah Subang Jaya setiap malam minggu bagi mendengar keluhan penduduk selain meningkatkan kepercayaan masyarakat setempat. - K! ONLINE