Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, RTC Kelantan juga terbukti berjaya mengekalkan rekod cemerlangnya sejak beberapa tahun lepas apabila melepasi sasaran nilai jualan sebanyak RM300 juta setahun.

"Kita yakin tahun ini RTC Kelantan sekali lagi akan berjaya mengatasi sasaran jualan yang kita tetapkan berikutan jumlah pengunjungnya melebihi empat juta setahun," katanya kepada pemberita di Majlis Hari Bertemu Pelanggan Sempena Aidilfitri di FAMA Tunjong di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Kompleks Pemasaran FAMA, Mohammad Zubir Abdul Razak dan Pengarah FAMA Kelantan, Mohd. Ariffin Awang.

Mengulas selanjutnya, Ahmad berkata, nilai jualan tersebut turut didorong oleh urus niaga sepanjang Ramadan dan Aidilfitri lepas yang menjana kira-kira RM750 ribu sehari.

"Kita melihat penggunaan RTC Kelantan sememangnya di tahap maksimum dan bersedia menambah lot perniagaan jika ada keperluan serta permintaan," katanya.

Ahmad berkata, jumlah peniaga di RTC Kelantan yang terletak di kawasan seluas 2.8 hektar itu juga didapati terus bertambah saban tahun dengan 754 peniaga setakat ini yang menawarkan pelbagai jenis produk berharga berpatutan dan menjadikannya pusat jualan pilihan rakyat.

Selain itu, beliau berkata, FAMA juga sedang meneliti produk yang boleh dijadikan ikon setiap negeri dan dapat diketengahkan di 26 bahagian kompleks pemasaran.

Ini termasuk pusat pengeluaran dan pemasaran serunding bagi RTC Kelantan, juadah acar bagi RTC Kedah dan serta produk ikan patin bagi Pahang. - Bernama