Rozita, 45, berkata, dia tidak faham mengapa hak orang menjadi pilihan walhal masih banyak lelaki bujang yang boleh dijadikan suami.

“Kita tahu, lelaki memang ada kemungkinan untuk berkahwin lebih kerana hak berpoligami. Tetapi, untuk wanita, kalau ada pilihan untuk bercinta dengan lelaki bujang mengapa perlu cari suami orang untuk bahagia?

“Individu yang menghancurkan kebahagiaan wanita lain ada wanita juga. Sebab itu saya tidak boleh terima mereka yang suka merampas suami orang,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar pelantikannya sebagai duta bagi projek perumahan Tunas Homes & Tunas Boulevard di Hotel Royale Chulan, di sini sebentar tadi.

Terdahulu, pelakon drama Kiah Pekasam itu pernah memuat naik status berbaur sindiran di Instagramnya kepada wanita yang merampas hak suami orang.

Dalam pada itu, ditanya apakah reaksinya jika ada pihak yang cuba mengganggu keharmonian rumah tangganya, Rozita dalam nada bergurau berkata wanita tersebut sengaja mencari nahas.

“Kalau berani cubalah, saya koyakkan mulut dia,” katanya sambil ketawa. - K! ONLINE