Perkara itu disahkan peguam Aleeya Elyana Ahmad Mahreez yang mewakili Kerajaan Kelantan pada pengurusan kes dalam kamar Hakim Datuk Ahmad Bache di sini pada pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.

Bagaimanapun saman terhadap Kerajaan Persekutuan belum diselesaikan dan masih dikekalkan.

"Kerajaan Kelantan telah memfailkan notis untuk tidak meneruskan saman terhadap Petronas pada 13 Mei lalu. Bagaimanapun mahkamah menetapkan 21 Jun ini untuk pengurusan kes selanjutnya bagi  saman Kerajaan Persekutuan," katanya.

Menurut Aleeya, berhubung saman dengan Kerajaan Persekutuan, setakat ini pihaknya masih belum menerima apa-apa arahan.

Turut hadir dalam prosiding itu, Peguam Persekutuan Siti Asmath Che Man.

Pada 30 Ogos 2010, kerajaan negeri selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan Petronas sebagai defendan kerana mendakwa syarikat minyak itu melanggar kontrak pembayaran royalti kepada plaintif (Kelantan berhubung pendapatan minyak).

Dalam penyataan tuntutan kerajaan negeri selaku plaintif menuntut Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian cari gali petroleum.

Kerajaan negeri berkata, Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei 1975 jelas tertera Petronas harus membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak, sama ada daripada usaha carigali di kawasan pantai atau di pesisir pantai.

Jelasnya, satu klausa perjanjian itu menjelaskan bayaran harus dibuat dua kali setahun, pada atau sebelum 1 Mac dan pada atau sebelum 1 September. - K! ONLINE