Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan berkata, 593 orang pelajar-pelajar di sekolah tersebut yang tinggal di asrama menikmati hidangan kudapan malam rojak mi di dewan makan pada pukul 11 malam kelmarin.

Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 103 pelajar atau 17.73 peratus pelajar sekolah tersebut yang mengalami gejala keracunan makanan.

Menurut Sivanesan, siasatan lanjut yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama mendapati mi yang digunakan untuk hidangan itu disimpan lebih daripada 24 jam.

“Timun untuk masakan itu juga tidak dibuang kulit dan suhu peti sejuk yang menyimpan barangan basah sekitar 15 darjah Celsius.

“Selain itu, lantai di dalam dewan makan itu juga tidak bersih manakala longkang juga tidak diselenggara dengan baik,” katanya pada sidang akhbar di MRSM Taiping di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan kes keracunan makanan di MRSM Taiping berulang kembali apabila seramai 103 pelajar sekolah itu mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah semalam.

Ia merupakan kes kedua dalam tempoh tiga minggu di sekolah tersebut selepas kejadian pertama yang membabitkan seramai 31 orang pelajar pada 12 Julai lalu. - K!ONLINE

habis