Jumlah itu melibatkan bayaran dana berjumlah RM805.8 juta dari Amerika Syarikat hasil daripada penyitaan syarikat pembikinan filem Red Granite Pictures sebanyak RM238 juta dan Hotel Park Lane di Manhattan berjumlah RM567.8 juta.

Selain itu, bayaran itu turut membabitkan bayaran dana dari Singapura dengan jumlah sebanyak 92.3 juta dan Malaysia sebanyak RM27 juta termasuk RM6.1 juta yang dipulangkan kepada Yayasan 1MDB dalam mata wang pelbagai denominasi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dana keseluruhan berjumlah RM925.1 juta itu tidak termasuk hasil jualan kapal Equanimity sebanyak AS$126 juta (kira-kira RM527.4 juta) kepada Genting Malaysia Bhd.

Beliau memberitahu, baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terlibat dijangka akan didepositkan ke dalam akaun pemulihan milik 1MDB atau Kementerian Kewangan pada bulan depan.

"Apabila diterima baki hasil jualan kapal itu kelak, wang dana AS$126 juta ini akan digunakan untuk melunaskan sebahagian daripada hutang 1MDB," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng menegaskan, hasil jualan kapal telah diterima sepenuhnya pada 23 April lalu dan kini disimpan di dalam Sheriff's Stakeholder Account (sebuah syarikat guaman terkemuka di Malaysia) untuk tempoh tiga bulan.

"Ini bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah," katanya.

Guan Eng berkata, pada masa sama, jumlah RM6.1 juta yang diterima kembali oleh Yayasan 1MDB adalah daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun, katanya Yayasan ,1MDB belum lagi menerima sebarang bayaran daripada Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi).

"Pada 16 Ogos 2012, satu perjanjian Financial Grant antara Yayasan 1MDB dan 
Kojadi untuk jumlah sebanyak RM15 juta telah ditandatangani.

"Selepas itu, dana sebanyak RM15 juta telah diberikan kepada Kojadi oleh Yayasan 1MDB dibayar masing-masing sebanyak RM5 juta pada 17 Ogos 2012, 22 Oktober 2012 dan 15 Mac 2013,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, usaha sedang giat dijalankan bagi mendapatkan kembali dana diselewengkan bagi membayar balik hutang 1MDB berjumlah lebih RM51 bilion, termasuk faedah pinjaman akan datang yang dijamin Kerajaan Persekutuan.

"Ini hasil usaha pihak berkuasa negara termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Peguam Negara selain dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara," katanya. - K! ONLINE