Angka untuk bulan Disember masih dalam proses pengumpulan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia sekali gus membuktikan bahawa kerajaan tidak mengambil keuntungan daripada harga runcit produk petroleum selain tidak mengenakan cukai jualan terhadap RON95 atau diesel. 

"Tuduhan yang mengatakan bahawa kerajaan telah mengenakan cukai jualan adalah palsu dan tidak berasas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan memberi subsidi petrol dan diesel pada bulan November lalu walaupun kosnya lebih rendah berbanding bulan-bulan terdahulu. 

Menurutnya, kerajaan telah membelanjakan RM4.1 juta untuk subsidi petrol RON95 dan RM209.1 juta untuk subsidi diesel sepanjang bulan November lepas.

"Minyak diesel bukan sahaja digunakan oleh sektor komersial dan perindustrian tetapi turut digunakan oleh orang ramai di Sabah dan Sarawak," katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, seperti yang dinyatakan sebelum ini,  kerajaan akan melaksanakan mekanisme pengapungan pada bulan ini di mana harga runcit petrol akan menurun secara mingguan jika Mekanisme Harga Automatik (APM) terus menurun. 
  
"Jika harga APM meningkat, harga runcit akan distabilkan kepada kadar semasa iaitu RM2.20 per liter bagi RON95 dan RM2.18 per liter bagi diesel.

"Sekiranya apabila harga-harga APM terus menurun, kerajaan akan mengurangkan harga tersebut supaya rakyat di negara ini mendapat manfaat daripada harga minyak yang rendah," katanya. -K! ONLINE