Menurut Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, perkongsian kisah hidupnya termasuk gambar tersebut bukan berniat untuk mengungkit kisah lama apatah lagi meraih simpati daripada orang ramai. 

"Buku ini diterbitkan bukan untuk meraih simpati sesiapa tetapi lebih kepada ingin memberi inspirasi dan motivasi kepada kaum wanita di luar sana.

"Saya pasti ramai wanita yang senasib dengan saya. Ditinggalkan suami dan membesarkan anak secara sendirian tanpa punca pendapatan tetap bukan sesuatu yang mudah," kata Rita, 42, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi. 

Melalui buku tersebut, Rita berkongsi sekeping gambar eksklusif bersama bekas suaminya yang dinikahinya itu dalam satu gudang beras bertempat di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 sebelum sah bercerai talak satu pada tahun 2013.

Ditanya mengenai kemungkinan pihaknya berdepan tindakan undang-undang apabila menceritakan perkara melibatkan isu kontroversi seperti perkahwinan dengan pemain bola sepak tersebut, Rita berkata, dia tidak menceritakan sebarang perkara buruk mengenai hal berkenaan. 

"Saya tidak menceritakan apa-apa perkara negatif berhubung perkara tersebut (perkahwinan). Itu sudah berlalu dan menjadi hak saya untuk membukukan kisah hidup untuk bacaan orang ramai. 

"Saya anggap Tengku Khalidah seperti keluarga saya sendiri kerana dia banyak menyimpan cerita berkenaan kisah hidup saya daripada sebelum menjadi artis sehingga sekarang," katanya. 

Sementara itu, Tengku Khalidah sebagai penulis buku berkata, beliau amat rapat dengan Rita dan sudah mengusahakan untuk menulis buku tersebut amat lama. 

"Banyak perkara yang saya simpan mengenai Rita. Jatuh bangun dia bersama saya. 

"Bagi saya, Rita adalah lambang ikon wanita yang sangat kuat. Idea untuk menerbitkan buku ini tercetus sembilan tahun lalu. 

"Bagaimanapun, apabila segalanya (proses penceraian dan sebagainya) sudah selesai, baru ia dapat direalisasikan," katanya yang sudah mengenali Rita lebih 20 tahun. 

Tambah beliau lagi, kisah hidup Rita berdasarkan buku tersebut turut berkemungkinan dijadikan drama televisyen tidak lama lagi. 

Buku tersebut boleh didapati pada harga RM40. Untuk tempahan, boleh menghubungi nombor telefon, 012-2518801. - K! ONLINE