Pada pukul 9 pagi, ringgit naik kepada 4.1750/1790 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1840 ketika ditutup semalam.

RHB Bank dalam pandangan ekonominya yang dikeluarkan hari ini berkata eksport negara meningkat semula apabila berkembang 1.1 peratus pada April selepas susut 0.5 peratus dan 5.3 peratus dalam dua bulan berturut-turut sebelumnya.

"Eksport elektrik dan elektronik pulih kepada pertumbuhan 3.9 peratus tahun ke tahun selepas turun 1.9 peratus pada Mac 2019," menurut bank itu.

Peniaga lain pula mengatakan data perdagangan yang dikeluarkan semalam di samping angka positif Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Nikkei telah mendorong mata wang tempatan meningkat memandangkan data berkenaan membuktikan ekonomi tempatan berkembang pada kadar berdaya tahan meskipun dalam ketidaktentuan global.

"Berdasarkan harga minyak mentah susut dalam keadaan kebimbangan ekonomi yang semakin meningkat, penting bagi sektor ekonomi lain turut mencatatkan prestasi baik untuk mengekalkan nilai ringgit," katanya.

Pasaran akan ditutup selama dua hari, 5 dan 6 Jun sempena cuti Aidilfitri.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0539/0580 daripada 3.0489/0522 semalam, serta rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8682/8730 daripada 3.8575/8623.

Ringgit juga lemah berbanding pound Britain kepada 5.2881/2935 daripada 5.2839/2907 pada Isnin dan turun berbanding euro kepada 4.6969/7018 berbanding 4.6703/6752 semalam. - Bernama