Ketua Perdagangan Asia Pasifik Oanda Corp, Stephen Innes berkata, data Indeks Pengeluaran Perindustrian yang lebih baik daripada dijangka yang dikeluarkan pada Khamis lepas, menonjolkan daya tahan ekonomi domestik.

"Ia memberi syarat kukuh untuk Bank Negara Malaysia menaikkan kadar faedah pada Januari," katanya.

Innes berkata, pengukuhan harga minyak mentah yang bergerak melepasi AS$69 (AS$1=RM3.97) setong baru-baru ini akan membawa ringgit ke paras 3.95 berbanding dolar AS, mungkin seawal minggu depan.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 3.9700/9730 daripada 3.9950/9000 pada minggu lepas.

Bagaimanapun ia diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9895/9924 daripada 3.0081/0123 minggu lepas dan menambah berbanding pound Britain kepada 5.4040/4084  daripada 5.4048/4132. 

Unit tempatan itu menyusut berbanding yen kepada 3.5727/5761 daripada 3.5279/5333 Jumaat lalu dan merosot berbanding euro kepada 4.8128/8181 daripada 4.8116/8192. - Bernama