Ketua Strategi dan Penyelidikan Pasaran Mata Wang FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, pergerakan ringgit pada jangka pendek akan terus dipengaruhi faktor luaran, termasuk pengukuhan berterusan mata wang AS serta ketegangan geopolitik antara AS dan China.

"Gabungan kedua-dua faktor ini telah menjejaskan pasaran pesat membangun di seluruh dunia, sehingga kini hanya dua mata wang negara pesat membangun yang sebenarnya meningkat berbanding dolar AS setakat ini bagi 2018, iaitu ringgit dan peso Columbia.

"Hanya penurunan permintaan dolar AS, disebabkan oleh pengambilan untung bagi mata wang negara maju itu, akan dapat meningkatkan semula nilai mata wang pasaran pesat membangun. Ini bermakna dolar AS perlu mengalami pengambilan untung untuk ringgit mendapatkan semula asas pergerakan," katanya kepada Bernama.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, nota tempatan ditutup rendah berbanding dolar AS pada 4.0380/0410 daripada 4.0010/0040 minggu lepas.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali berbanding pound Britain apabila mata wang tempatan meningkat kepada 5.3092/3147 daripada 5.3189/3245 yang dicatatkan minggu lepas.

Nota tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9624/9650 daripada 2.9484/9511 minggu lepas serta rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6487/6524 daripada 3.6323/6360.

Ringgit turut lemah berbanding euro kepada 4.7043/7082 daripada 4.6644/6683 minggu lepas. - Bernama