Pada 9 pagi, ringgit naik kepada 4.1700/1730 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1730/1760 semalam.

Harga minyak meningkat berikutan ketegangan yang tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berhubung sekatan ekonomi, perdagangan dan ketenteraan, kata seorang peniaga.

"Situasi itu berpotensi untuk terus meruncing yang mana akan meningkatkan lagi harga minyak.

“Bagaimanapun, perang perdagangan yang berterusan antara AS dan China sedikit sebanyak telah menjejaskan sentimen pasaran di seluruh dunia," katanya kepada Bernama.

Pada 9 pagi, petunjuk pasaran minyak mentah Brent meningkat kepada AS$72.11 setong berbanding AS$71.04 setong semalam.

Beliau juga berkata, selain minyak, harga komoditi juga mencatatkan peningkatan terutamanya minyak sawit.

"Dengan harga minyak yang bertambah baik dan harga komoditi stabil, ia akan menjadi pemangkin bagi ringgit sekarang, sementara menunggu data keluaran dalam negara kasar suku pertama yang akan diumumkan hari ini," katanya.

Sementara itu, ringgit dibuka kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan diniagakan tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.0465/0491 daripada 3.0471/0497 pada paras penutup Rabu dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8093/8130 daripada 3.8162/8193.

Mata wang tempatan megukuh berbanding pound Britain kepada 5.3568/3615 daripada 5.3836/3891 dan tidak berubah berbanding euro kepada 4.6729/6767. - Bernama