Pada pukul 9.07 pagi, ringgit disebut harga pada 3.9130/9200 berbanding dolar AS daripada 3.9170/ 9205 yang dicatat sewaktu ditutup pada Jumaat.

Sementara itu, seorang peniaga berkata pasaran masih dalam suasana tidak menentu dengan risiko geopolitik belum reda susulan kemungkinan kebuntuan hubungan Amerika Syarikat-China terus ada dan mungkin menular ke peringkat global.

"Canselor Jerman, Angela Merkel tidak berjaya memujuk Presiden AS, Donald Trump untuk menggugurkan langkah perlindungan dan mengekang cukai AS ke atas keluli dan aluminium import dari Eropah. Ini menyebabkan kedua-dua kuasa  ekonomi itu di ambang perang perdagangan," katanya.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lain kecuali pound Britain apabila ia menokok kepada 5.3894/3994 daripada 5.4031/4103.

Unit tempatan itu rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9550/9614 berbanding 2.9531/9562 manakala berbanding yen ia susut kepada 3.5873/5940 daripada 3.5834/5869.
Berbanding euro, ringgit turut rendah kepada 4.7453/7542 berbanding 4.7317/7375. - Bernama