Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1430/1460 berbanding dolar AS daripada 4.1460/1500 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Dagangan Asia-Pasifik Oanda, Stephen Innes berkata, harga minyak mentah Brent yang stabil antara RM290.25 (US$70) dan RM331.72 (US$80) setong turut mendorong peningkatan ringgit setelah Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum memantau bekalan untuk memastikan pasaran kekal pada kedudukan semasa.

Di peringkat tempatan, Innes berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) seperti yang boleh dijangkakan telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus dengan kenyataan dasar yang neutral pada Rabu.

"Berdasarkan banyak perubahan politik dan pelarasann dasar dalaman, tidak perlu untuk menambah tahap kesukaran kepada persekitaran.

Innes berkata, langkah BNM seterusnya mungkin mengurangkan kadar itu sebelum akhir 2019, berdasarkan cabaran ekonomi, disebabkan penurunan perbelanjaan infrastruktur dan langkah menurunkan defisit bajet yang membebankan.

"Oleh itu, saya menyemak semula sasaran akhir tahun bagi ringgit kepada 4.20 berbanding dolar AS berikutan unjuran pertumbuhan yang perlahan.
Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0127/0151 daripada 3.0052/0094 pada Rabu dan rendah berbanding euro kepada 4.8241/8288 daripada 4.7986/8040.

Nota tempatan lemah berbanding yen kepada 3.7237/7274 daripada 3.7154/7200 dan susut berbanding pound kepada 5.3532/3587 daripada 5.3031/3103 semalam. - Bernama