Ridzuan menerima anugerah berkenaan daripada Presiden Majlis Paralimpik Emiriah Arab Bersatu, Mohamed Alhameli dan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia, Majid Rashed pada majlis yang berlangsung di Dubai.

Atlet yang turut dikenali sebagai Dik Wan itu mencipta rekod dunia dalam acara 100m lelaki T36 (celebral palsy) dan rekod Sukan Asia bagi acara lompat jauh pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta, Oktober tahun lalu.

"Saya gembira dan berterima kasih kepada Jawatankuasa Paralimpik Asia kerana memberi penghargaan ini. Ia membakar semangat saya untuk terus melakar pencapaian lebih baik selepas ini," kata Ridzuan.

Pada temasya di Jakarta, atlet itu mencipta rekod dunia acara 100m lelaki T36 dengan masa 11.87 saat bagi memadam rekod dunia lama, 11.90s milik atlet Rusia, Evgenii Shvetcov yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2013 di Lyon.

Dia yang meraih tiga emas di Jakarta muncul atlet pertama Malaysia diberi pengiktirafan itu. - K! ONLINE