Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Pembasmian Kemiskinan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan penyelarasan bantuan bencana ribut oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada semalam.

"Hasil keputusan awal perbincangan memutuskan wang bantuan awal daripada Nadma akan disalurkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk bantuan awal kerja-kerja pembaikan rumah mangsa ribut.

"Perbincangan juga telah memutuskan had maksimum bagi pembaikan sebuah rumah berjumlah RM5,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pejabat daerah perlu menyelaras dan mendapatkan anggaran lengkap kerosakan serta kemusnahan kediaman terlibat dengan menyediakan maklumat seperti alamat dan gambar kediaman serta laporan polis.

"Dokumen lain yang diperlukan adalah sebut harga bagi kos pembaikan yang telah disahkan oleh pegawai teknikal di pejabat daerah," ujarnya.

Menurut Halimaton, tarikh akhir penyediaan maklumat tersebut adalah pada Khamis ini yang mana ia perlu dihantar kepada Bahagian Khidmat Pengurusan Aras 2, Blok B Wisma Darul Aman di sini.

"Bahagian Khidmat Pengurusan Wisma Darul Aman akan menyalurkan semua maklumat yang telah lengkap dihantar oleh pejabat daerah kepada APM negeri untuk diselaras dengan pihak Nadma bagi urusan seterusnya," jelasnya.

Ujarnya, mangsa ribut yang telah membuat pembaikan terlebih dahulu dan ingin membuat tuntutan diminta menyediakan dokumen lengkap seperti laporan polis, gambar keadaan rumah terjejas dan selepas pembaikan serta disahkan oleh penghulu mukim berkenaan.

Tambahnya, kerajaan negeri Kedah melalui Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah juga menyalurkan sumbangan bagi bencana ribut sebanyak RM20,000.

Sebanyak 1,536 rumah di 12 daerah di negeri ini mengalami kerosakan akibat kejadian ribut pada Jumaat lalu. - K! ONLINE