Tinjauan Kosmo! mendapati, ribuan PATI dan majikan mula membanjiri kawasan tersebut sejak awal pagi hingga lewat malam.

Menurut sumber Imigresen, Walaupun tempoh permohonan program rehiring mula dibuka sejak 15 Februari 2016 lalu tetapi masih terdapat segelintir majikan dan pekerja asing suka melakukan permohonan pada saat-saat akhir sekali gus menyebabkan kaunter imigresen sesak.

"Kita telah berulang kali memberi peringatan kepada majikan dan PATI supaya tidak menunggu saat-saat akhir kerana ia bukan sahaja membebankan anggota malah turut mengganggu lalu lintas kawasan sekitar," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Berdasarkan statistik terkini JIM, sejak permohonan program rehiring dibuka sehingga semalam, seramai 744,942 PATI dan 83,919 majikan telah hadir untuk pendaftaran permohonan.

Menurut sumber itu lagi, JIM telah menetapkan untuk menamatkan pendaftaran permohonan tepat pukul 12 tengah malam esok dan seterusnya akan menjalankan gerak gempur operasi penguatkuasaan secara menyeluruh di seluruh negara bagi memburu PATI dan majikan yang masih berdegil. - K! ONLINE