Abdul Mutalib yang dikenali ramai dengan panggilan Pok Tar memberitahu, pada musim kali ini dia meraih pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sehari dengan anggaran jualan antara 700 hingga 1,000 kilogram.

"Harga durian bergantung kepada jenis iaitu durian kampung sekitar RM2 hingga RM5 (sekilogram), durian klon RM6 hingga RM12 dan bagi Musang King RM25 hingga RM30 untuk sekilogram.

"Alhamdulilah. Allah bagi rezeki lebih kali ini apabila pokok buah-buahan terutama durian jenis kampung, D24, IOI dan Musang King mengeluarkan hasil banyak di dusun-dusun di Jerantut," ujarnya yang mengalami kecacatan kaki sejak dilahirkan.

Menjalankan perniagaan di Pusat Pengumpulan Buah-buahan Pekan Damak di sini, Pok Tar memberitahu, bilangan pengunjung ke premis tersebut semakin ramai sejak bermulanya musim durian pada kira-kira sebulan lalu.

Disebabkan tidak mampu melayani kehadiran pelanggan yang ramai, Pok Tar turut mendapatkan bantuan enam pekerja untuk memastikan setiap pelanggannya menerima layanan terbaik ketika berurusan di pusat pengumpulan buah-buahan.

"Setiap hari, pasti ada pengusaha dusun durian yang datang jual buah kepada saya. Pemborong dari Kuala Lumpur juga ada datang membeli bekalan pukal.

"Menguruskan tempahan bermula pukul 7 pagi hingga 10 malam. Kalau saya seorang, memang tak mampu hendak uruskan semua tempahan pemborong," ujarnya yang turut menjual secara runcit

Selain durian, Pok Tar yang dikenali ramai melalui perniagaan itu sejak 10 tahun lalu turut membekalkan pisang, manggis, dokong, rambutan dan petai. - K! ONLINE