Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, kategori itu diberikan hasil pemeriksaan terhadap restoran tersebut yang mencapai tahap 91.8 peratus.

Katanya, semua pekerja dan pengendali menerima suntikan serta turut menjalani kursus pengendalian makanan yang lengkap seperti yang ditetapkan pihaknya.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan juga mendapati penularan pekerja restoran itu mencuci sudu dan garfu di atas jalan raya adalah tidak benar sebaliknya peralatan itu untuk dibuang berikutan telah karat.

"Justeru, tiada sebarang penutupan operasi dikenakan kepada restoran tersebut,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, pihaknya akan hanya mengeluarkan notis kesalahan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM) atas kesalahan tidak melabelkan bekas ramuan makanan.

"Kita turut mengeluarkan lapan arahan penambahbaikan termasuk teguran serta saranan amalan pengendali makanan yang baik perlu diamalkan," katanya. - K! ONLINE