Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran dalam sebutan semula kes itu di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham sebentar tadi.

Representasi yang ditolak sebentar tadi merupakan kali kedua selepas ia ditolak kali pertama pada 16 Oktober lalu.

Berikutan itu mahkamah mengekalkan perbicaraan untuk lima pertuduhan tersebut.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil, 37, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid Kamil didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid Kamil dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam sebagai seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.

Pada 25 Januari, Farid Kamil turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC. - K! ONLINE