Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyambung reman kedua-dua lelaki itu bermula hari ini sehingga 8 Disember depan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, anak saudara Menteri Besar Selangor yang juga seorang pekerja sebuah syarikat pengiklanan, 34, dan suspek kedua pengarah syarikat, 67, tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 9.30 pagi.

Pada masa sama, mahkamah membenarkan dua lagi individu yang disiasat berhubung kes sama masing-masing dibebaskan dengan jaminan SPRM dengan seorang penjamin.

Dua individu tersebut adalah anak sulung suspek kedua yang juga pengarah syarikat, 41, dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM15,000 manakala seorang pengurus tapak berusia 45 tahun, dibebaskan dengan jaminan SPRM RM10,000.

Kesemua empat individu tersebut sebelum ini direman tujuh hari bermula 30 November lalu selepas ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari sehari sebelum itu di sekitar Kuala Lumpur.

Hasil penahanan itu, akaun bernilai RM4 juta milik syarikat terlibat turut dibekukan kerana disyaki hasil bersekongkol dengan anak saudara Menteri Besar terbabit.

Syarikat perlombongan itu dikatakan merasuah penguat kuasa tempatan supaya tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan terbabit. - K! ONLINE