Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 18 tahun, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tiada dokumen pengenalan diri didapati dalam milikannya dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 38.49 gram (g) pada pukul 3.30 petang, 31 Mei  tahun lalu di Tokong Cina Lumat di Beaufort.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Husna Abdul Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah supaya meringankan hukuman.

Dia yang tidak pernah bersekolah sugul tatkala mahkamah membacakan hukuman.

Mahkamah juga menetapkan supaya tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berikutan ketiadaan dokumen pengenalan diri yang sah.

Hukuman terhadap tertuduh kekal dengan lapan tahun penjara berserta 10 sebatan. - K! ONLINE