Ibu mangsa Zaleha Kadam, 51, ketika dihubungi berkata, anak bongsu dari dua beradik itu kini berada di Balai Polis Sikamat, Jalan Desa Rhu, Seremban.

"Pada 11.50 pagi tadi, saya menerima panggilan daripada Farah Amani yang menggunakan telefon seorang peniaga buah-buahan yang memaklumkan dia berada berhampiran balai polis itu dan meminta agar kami mengambilnya di sana.

"Sejurus, saya dan suami memintanya menunggu di balai berkenaan sebelum kami bergegas ke lokasi itu. Saya bersyukur dia ditemui selamat," katanya.

Zaleha berkata, anaknya itu kini berada dalam keadaan baik dan keluarganya menyerahkan kepada polis bagi melakukan siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussien Onn itu disedari hilang apabila Zaleha ingin mengejutnya untuk solat subuh pada 5.30 pagi, Isnin.

Susulan kehilangan Farah Amani itu, bapanya Mohammad Fauzi, 49, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang. - Bernama