Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, Izzul Fitri Rosli, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat patah leher manakala rakannya, Muhammad Hafeezi Mohd. Sham Suddin, 18, yang menunggang motosikal itu pula mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan perut.

Muhammad Hefeezi berkata, mereka berdua bersama tiga rakan lain menunggang motosikal masing-masing dalam perjalanan pulang dari kawasan Air Terjun Lubuk Kain dekat sini.

Beliau berkata, mereka yang kesemuanya bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Mas dekat sini berkelah di kawasan air terjun tersebut sebagai meraikan selesainya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada bulan lalu.

"Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Bukit Besi dekat sini, tiba-tiba seekor babi hutan keluar dari kawasan belukar berhampiran dan meluru ke tengah jalan.

"Saya yang menunggang motosikal Honda RS 150 cuba mengelak menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas menjunam ke dalam gaung di tepi jalan," katanya ketika ditemui Kosmo! Online di pekarangan Rumah Mayat Hospital Dungun di sini malam tadi. - K! ONLINE