Mayat Muhammad Azzaly Azman, 15, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sijangkang Jaya ditemukan pukul 8.53 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa bersama empat rakannya dari sekolah yang sama telah ke tasik tersebut kira-kira pukul 3.30 petang semalam dari Telok Panglima Garang.

Katanya, tujuan lima sahabat itu adalah untuk beriadah di kawasan tersebut.

"Selepas sejam melepak di taman itu, mangsa bersama dua sahabatnya telah turun mandi di tasik berkenaan.

"Bagaimanapun, mangsa didapati tenggelam ketika hendak ke seberang tasik kira-kira setengah jam selepas mandi tasik itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya tiba di lokasi kejadian pukul 6.21 petang semalam bagi tujuan operasi mencari dan menyelamat (SAR). 

Ujarnya, bagaimanapun mayat mangsa hanya ditemui pagi tadi pada jarak 15 meter dari tebing tasik taman tersebut.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan disahkan mati akibat lemas tanpa sebarang unsur jenayah. 

"Jenazah mangsa telah dituntut oleh pihak keluarga untuk dikebumikan," jelasnya. - K! ONLINE