Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, mangsa yang juga bekas penuntut Akademi Binaan Malaysia (ABM) Johor Bahru, Mohamad Aisar Hisyam Mohd Kamal, 22, mati lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya, Nur Aifa Diyana, 21, yang dihanyutkan air ketika mandi bersama beberapa ahli keluarga lain.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penguasa Bomba Kanan II, Zuraidi Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira- kira pukul 6 petang tadi.

"Susulan itu, seramai lapan anggota bersama satu jentera dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Berang dikejarkan ke sana.

"Sebaik anggota kami tiba di lokasi kira- kira pukul 6.25 petang, gerakan mencari dan menyelamatkan (SAR) dijalankan dan mangsa berjaya ditemui kira-kira 15 minit selepas itu di kedalaman lima hingga tujuh meter iaitu 20 meter dari tempat kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Zuraidi, maklumat awal mendapati mangsa bersama 10 ahli keluarga tiba di lokasi perkelahan tersebut pada pukul 4.10 petang untuk berkelah sebelum mangsa melihat adiknya yang mandi hampir lemas kerana dihanyutkan arus air yang kuat.

Beliau berkata, adik mangsa yang berjaya diselamatkan dihantar ke Wad Kecemasan Hospital Hulu Terengganu manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital yang sama untuk tindakan lanjut. - Bernama